Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019 : Etika Penulisan Blog


Memandangkan hari ini cuti kerana jerebu, saya ingin kongsikan kepada anda semua etika dalam membuat penulisan blog. Pasti semua tertanya-tanya bagaimana etikanya kan? Mari saya ceritakan.

Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019) menggariskan 10 cara menulis blog dengan baik. Antaranya seperti berikut;

1.     Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca
Seorang pembaca, jika dia ingin membaca sesuatu dia akan membaca tajuk dahulu. Sekiranya tajuk itu mampu menarik perhatiannya maka dia akan meneruskan pembacaannya. Sebab itu, pemilihan tajuk yang luar biasa dan menarik merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh semua penulis agar pembaca mempunyai keinginan untuk mengetahui perkara yang selanjutnya.

2.     Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca
Selepas pemilihan tajuk, penulis tidak seharusnya menghampakan harapan pembaca dengan hanya menulis jalan cerita yang pembaca boleh tahu kesudahan penghujung cerita itu. Cerita yang mempunyai konflik akan menjadi lebih menarik berbanding jalan cerita yang mendatar sahaja. Hal ini menunjukkan konflik boleh mempengaruhi emosi pembaca dan dapat merasai apa yang ingin dialami oleh watak dalam cerita tersebut.

3.     Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya  
        lebih menarik.
Kadang-kadang perkara yang melucukan dan lawak jenaka yang ditampilkan oleh penulis dalam penulisannya menyebabkan pembaca lebih selesa dan senang hati untuk terus membaca. Setiap manusia mempunyai kepelbagaian masalah dalam hidup. Penulisan yang mempunyai unsur humor dan jenaka boleh menjadi terapi hati kepada pembaca untuk menghiburkan hatinya. Namun begitu, lawak yang berunsur lucah perlu dielakkan oleh penulis.

4.     Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Anda perlu tahu juga, hujah yang padat dan mantap akan menunjukkan kredibiliti penulisan anda. Setiap isi yang ingin diketengahkan seharusnya mempunyai huraian yang mempunyai rujukan yang sahih. Elakkan membuat huraian yang meragukan kesahihannya agar pembaca mendapat maklumat yang benar dan tepat.
5.     Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Penulisan yang mempunyai info yang terkini akan menjadi sumber utama kepada para pembaca untuk jadikan sumber rujukan. Namun begitu, berita terkini yang dikemukan perlu dari kenyataan yang rasmi atau dikeluarkan oleh media rasmi bukan daripada hasil pendapat orang ramai di media sosial bagi mengelakkan berlakunya fitnah atau berita tidak sahih.

6.     Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Perkataan yang digunakan perlu ringkas, padat dan tepat. Elakkan huraian yang panjang dan lari daripada topik utama penulisan. Pembaca zaman sekarang lagi suka membaca penulisan yang ringkas tapi maklumat yang ingin disampaikan jelas. Ayat yang tersusun ringkas lebih baik daripada ayat berbunga-bunga tetapi sukar difahami makna tersiratnya.

7.     Dapat dibaca dan difahami.
Kadang-kadang ada penulis yang suka menerokai perkataan yang baru dan bombastik. Jika sekali baca seperti ‘wow’. Perlu diingat bukan semua pembaca memahami perkataan tersebut. Perkataan yang tidak difahami boleh menjadi salah satu faktor kepada pembaca untuk meninggalkan perenggan tersebut akhirnya naratif jalan cerita ada kelompongan kerana tidak difahami oleh pembaca.

8.     Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Penulisan yang baik juga sekiranya mempunyai dua hala komunikasi walaupun hanya ada unsur retorik semata. Hal ini, boleh menggalakkan pembaca untuk mengasahkan akalnya untuk berfikir dengan persoalan yang kita tinggalkan kepada pembaca. Selain itu, komunikasi ini boleh mengelakkan pembaca berasa bosan dengan pembacaannya.

9.     Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
Elemen moral dan estetika perlu diterapkan dalam setiap penulisan yang dibuat. Pembaca boleh mempelajari sesuatu perkara daripada penulisan yang kita tulis. Zaman dahulu sebelum kemerdekaan sehingga kini, medium penulisan tidak menjadi lapuk diketengahkan sebagai medan untuk mengubah rakyat dan orang sekeliling mengenai erti kehidupan yang bermoral dan nilai yang dijulangkan.

10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.
Semua penulisan yang berunsurkan akademik, penulisnya perlu mempunyai kepakaran terhadap artikel atau penulisan yang dikeluarkan. Jika tidak mempunyai pengetahuan terhadap bidang tersebut boleh menyebabkan penulisan kita dipandang rendah dan hilang nilai penulisan tersebut di mata pembaca. Perlu merujuk kepada yang pakar agar penulisan tersebut berkualiti.

Sekian sahaja perkongsian saya hari ini mengenai etika penulisan dalam blog. Saya berharap ilmu ini bermanfaat kepada semua pembaca. Selamat mencuba!



No comments:

Post a Comment

ANAK TIDAK MENURUT KATA. BAGAIMANA?

Pendidikan awal anak adalah tanggungjawab ibu bapa dari rumah. Mendidik bukan menunggu mereka besar. Sewajarnya dari mereka dalam perut lagi...