Monday, November 25, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku kajian Wacana dan Strategi komunikasi: Teori dan Aplikasi Normaliza Abd Rahim (2019)

[ ULASAN BUKU ]


Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi hasil karya Normaliza Abd Rahim (2019) membincangkan mengenai wacana yang berkait rapat dengan komunikasi. Buku ini mengandungi tujuh bab yang merangkumi kajian wacana, teori dan pendekatan wacana, analisis wacana tekstual dan ujaran, strategi komunikasi, taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi, analisis strategi komunikasi dalam kalangan kanak-kanak serta cadangan kajian akan datang. Bab pertama memperkenalkan mengenai definisi wacana yang bermaksud suatu bahasa manusia dan menginterpretasikannya dalam bentuk ujaran, interaksi, teks dan tulisan. Bab kedua, membincangkan mengenai teori-teori yang dibuat oleh pakar-pakar wacana. Teori ini amat penting untuk rujukan dalam membuat huraian dan analisis dalam sesebuah wacana. Individu atau kumpulan juga akan mudah untuk memahami wacana yang dilontarkan. Bab ketiga lebih kepada praktikal dalam menganalisis wacana dari segi tekstual dan ujaran dalam bentuk lirik lagu, teks cerita social dan ujaran dalam kanak-kanak autisme. Golongan kanak-kanak autisme sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain oleh sebab itu, cerita sosial boleh membantu mereka untuk perkembangan minda dan memperoleh nilai sosial dalam cerita tersebut.
Seterusnya, bab keempat mengulaskan mengenai strategi komunikasi yang menunjukkan pembacaan sahaja tidak mencukupi untuk perkembangan wacana namun perlu disusuli dengan strategi komunikasi yang berkesan. Perkara paling utama dalam berkomunikasi ialah kedua-dua pihak boleh memahami maklumat yang disampaikan sama ada maklumat sedia ada ataupun baru. Bab kelima membahaskan mengenai taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi. Bab ini mengelaskan beberapa elemen penting perlu dalam membantu komunikasi menjadi lebih lancar dan audiens mudah memahami perkara yang ingin disampaikan. Bab keenam, analisis strategi komunikasi lebih berfokus kepada kanak-kanak. Memandangkan pemerolehan bahasa awal berlaku pada peringkat kanak-kanak dan penting untuk adanya strategi komunikasi agar tidak berlaku pentafsiran makna yang berbeza dari apa yang sebenar ingin disampaikan.  Bab yang terakhir iaitu penulis memberi cadangan bagi kajian akan datang yang merangkumi bahasa isyarat, bahan bercetak, serta bahan elektronik dan media social turut berperanan dalam perkembangan wacana dan strategi komunikasi.
Buku ini memberi implikasi yang positif kepada pembaca untuk meningkatkan pengetahuan dalam memperbaiki cara komunikasinya dan sebagai panduan untuk memahami gaya komunikasi orang lain khususnya kepada golongan yang mempunyai masalah komunikasi seperti kanak-kanak, golongan autisme dan golongan yang bermasalah dalam menyusun ujaran semasa berkomunikasi.

Rujukan:
Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi. Kuala Terengganu : Penerbit UMT

No comments:

Post a Comment

ANAK TIDAK MENURUT KATA. BAGAIMANA?

Pendidikan awal anak adalah tanggungjawab ibu bapa dari rumah. Mendidik bukan menunggu mereka besar. Sewajarnya dari mereka dalam perut lagi...