Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan
Aplikasi hasil karya Normaliza Abd Rahim (2019) membincangkan mengenai wacana
yang berkait rapat dengan komunikasi. Buku ini mengandungi tujuh bab yang
merangkumi kajian wacana, teori dan pendekatan wacana, analisis wacana tekstual
dan ujaran, strategi komunikasi, taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi,
analisis strategi komunikasi dalam kalangan kanak-kanak serta cadangan kajian
akan datang. Bab pertama memperkenalkan mengenai definisi wacana yang bermaksud
suatu bahasa manusia dan menginterpretasikannya dalam bentuk ujaran, interaksi,
teks dan tulisan. Bab kedua, membincangkan mengenai teori-teori yang dibuat
oleh pakar-pakar wacana. Teori ini amat penting untuk rujukan dalam membuat
huraian dan analisis dalam sesebuah wacana. Individu atau kumpulan juga akan
mudah untuk memahami wacana yang dilontarkan. Bab ketiga lebih kepada praktikal
dalam menganalisis wacana dari segi tekstual dan ujaran dalam bentuk lirik
lagu, teks cerita social dan ujaran dalam kanak-kanak autisme. Golongan
kanak-kanak autisme sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain oleh sebab itu,
cerita sosial boleh membantu mereka untuk perkembangan minda dan memperoleh
nilai sosial dalam cerita tersebut.
Seterusnya, bab keempat mengulaskan mengenai strategi
komunikasi yang menunjukkan pembacaan sahaja tidak mencukupi untuk perkembangan
wacana namun perlu disusuli dengan strategi komunikasi yang berkesan. Perkara paling
utama dalam berkomunikasi ialah kedua-dua pihak boleh memahami maklumat yang
disampaikan sama ada maklumat sedia ada ataupun baru. Bab kelima membahaskan
mengenai taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi. Bab ini mengelaskan
beberapa elemen penting perlu dalam membantu komunikasi menjadi lebih lancar
dan audiens mudah memahami perkara yang ingin disampaikan. Bab keenam, analisis
strategi komunikasi lebih berfokus kepada kanak-kanak. Memandangkan pemerolehan
bahasa awal berlaku pada peringkat kanak-kanak dan penting untuk adanya
strategi komunikasi agar tidak berlaku pentafsiran makna yang berbeza dari apa yang
sebenar ingin disampaikan. Bab yang
terakhir iaitu penulis memberi cadangan bagi kajian akan datang yang merangkumi
bahasa isyarat, bahan bercetak, serta bahan elektronik dan media social turut
berperanan dalam perkembangan wacana dan strategi komunikasi.
Buku ini memberi implikasi yang positif kepada pembaca untuk
meningkatkan pengetahuan dalam memperbaiki cara komunikasinya dan sebagai
panduan untuk memahami gaya komunikasi orang lain khususnya kepada golongan
yang mempunyai masalah komunikasi seperti kanak-kanak, golongan autisme dan
golongan yang bermasalah dalam menyusun ujaran semasa berkomunikasi.
Rujukan:
Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi
Komunikasi Teori dan Aplikasi. Kuala Terengganu : Penerbit UMT